Friday, December 27, 2024

TANDA-TANDA KUBRA

(d) TURUNNYA NABI ALLAH ISA ALAIHISSALAM

Turunnya nabi Allah Isa AS dari langit ke dunia. Ketika itu dajal masih bermaharajalela. Nabi Isa telah membunuh dajal tersebut dan menjadi hakim (raja) yang adil dan jujur memerintah dunia ini. Beliaulah yang akan memusnahkan salib orang Kristian dan membunuh babi-babi. Hadis mengenai kedatangan Nabi Allah Isa AS bermaksud:

"Maka kedudukan Nabi Isa di kalangan umtaku adalah sebagai pemerintah yang adil, pemimpin yang jujur, menghancurkan perang salib (sebagaii tanda hancurnya agama Kristian), membunuh babgi, menghapuskan jizyah (cukai kepala). (Ini membawa pengertian bahawa satu-satunya agama yang diterima oleh umat manusia pada saat itu  hanyalah agama Islam. Sebagaimana yang dimaklumi bahawa pemerintahan Islam akan mengenakan jizyah ke atas orang Islam). Sedekah ditinggalkan (tidak ada yang suka menerima, sebab kekayaan orang Islam sudah berlebihan, ketika itu tidak ada lagi orang menderita kelaparan dan kemiskinan). Tidak ada yang mengurus kekayaan kambing atau unta. Rasa dendam atau benci lenyap sama sekali. Semuanya hidup rukun dan damai. Dihilangkan segala racun segala sesuatu yang berbisa sehingga jika seseorang kanak-kanak memasukkan tangannya ke dalam mulut ular sekalipun perbuatan itu tidak akan membahayakan dan kehadiran serigala di kalangan kambing juga tidak mendatangkan bahaya kerana seolah-olah anjing gembala yang menjaga keselamatan kambing-kambing itu. Seluruh permukaan bumi penuh dengan kesejahteraan, semua manusia hanya menyembah Allah yang satu. Peperangan tidak berlaku lagi. Kaum Quraisy memperoleh kekuatannya kembali dan bumi bagaikan bejana perak, suburnya menambahkan tanaman-tanaman seperti zaman Nabi Allah Adam AS."

Begitulah diterangkan di dalam hadis tersebut mengenai kedatangan Nabi Isa AS dan zaman pemerintahannya.

(e) KELUARNYA BANGSA YA'JUJ DAN MA'JUJ

Kaum ini pernah muncul pada zaman Raja Zulkarnain tetapi dipenjarakan oleh baginda dengan tembok besi yang tebal dan tinggi. Di dalam dinding tembok itulah mereka terkurung. Apabila hampir kiamat, tembok itu akan roboh, lalu kedua-dua kaum itu merosakkan dunia. Antara hadis mengenai Ya'juj dan Ma'juj seperti yang diterangkan oleh Nabi Muhammad SAW bermaksud:

"Bahawa sedang Nabi Isa menerangkan perkara-perkara yang menggembirakan mereka, Allah mewahyukan kepada Nabi Isa dengan firmannya: "Bahawa Aku telah mengeluarkan sekumpulan hamba-hamba-Ku, (Ya'juj dan Ma'juj) yang tidak ada daya upaya bagi sesiapapun memerangi mereka. Oleh itu bawalah hamba-hamba-Ku yang bersama-sama berlindung di bukit Tursina dan Allah keluarkan Ya'juj dan Ma'juj dan mereka pun meluru turun dari tempat yang tinggi... Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya pun terkepung lama di bukit itu sehingga kepala lembu menjadi lebih berharga dan lebih baik kepada mereka daripada seratus dinar. Lalu Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya berdoa kepada Allah supaya membinasakan musuh-musuh mereka. Maka Allah menghantarkan sejenis ulat bagi menyerang leher Ya'juj dan Ma'juj, lalu mereka mati."

(f) TIMBUL ASAP SELURUH BUMI

Setelah Ya'juj dan Ma'juj mati lalu timbul pula asap di seluruh bumi ini. Asap ini mengenai orang mukmin lalu mereka semacam terkena penyakit selesema. Tetapi jika asap itu terkena orang kafir dia akan menjadi mabuk terhuyung-hayang dan asap itu akan keluar dari hidungnya, matanya, telinganya dan duburnya.

Thursday, December 19, 2024

TANDA-TANDA KUBRA

 Adapun alamat Kubra (besar) itu ialah:

(a) MATAHARI TERBIT DARI ARAH BARAT

Terbitnya matahari dari arah barat dan keluarnya binatang yang pandai bercakap. Pada waktu ini hari kiamat sudah hampir tiba. Susunan kejadian alam sudah berubah, matahari yang dulunya terbit dari sebelah timur menjadi sebaliknya. Kini matahari terbit dari sebelah barat dan tenggelam di sebelah timur pula. Selain itu keluar pula sejenis binatang dari perut bumi yang pandai berkata-kata dengan manusia (Dabbatul-Ard).

Dalam sebuah hadis Rasulullah pernah bersaabda maksudya:

"Sesungguhnya tanda-tanda pertama yang keluar yang menunjukkan terlalu hampir waktu tibanya hari kiamat ialah terbitnya matahari dari arah barat dan keluarnya sejenis binatang di khalayak ramai di waktu siang hari. Kedua-dua kejadian itu berlaku dalam jangka waktu yang amat dekat."

(Hadis riwayat Muslim)

Dan sabdanya lagi:

"Tidaklah berlakunya hari kiamat sehingga terbitnya matahari dari sebelah barat, maka apabila matahari telah terbit dari barat maka berimanlah semua manusia (yang sebelumnya adalah kafir). Keimanan seseorang pada waktu itu tidak lagi ada gunanya dan tidak diambil kira lagi, begitu juga kerja-kerja kebajikan atau usaha-usaha kebajikan yang dilakukan dalam keimanan itu juga tiada gunanya."

(b) MUNCULNYA IMAM AL-MAHDI

Keturunan Rasullullah SAW. Namanya Muhammad bin Abdullah atau Ahmad Bin Abdullah. Akhlaknya dan budi pekertinya menyerupai akhlak Rasulullah. Demikian juga bentuk leher, dahinya, dan mancung hidungnya. Beliau memerintah dunia ini dengan aail dan saksama, menghapuskan segala kezaliman dan penganiayaan. Beliau mengembalikan syariat Islam, menegakkan sunnah Rasulullah, agama Islam akan tegak semula di muka bumi ini. Kedudukan beliau amat berkuasa dan kuat, suasana kehidupan aman dan damai, adil dan bahagia, harta kekayaan negara dibahagikan sama rata di seluruh negara. Beliau bersama sama Nabi Allah Isa AS akhirnya berjaya membunuh Dajjal. Beliau memerintah dunia selama 7 tahun.

(c) KELUARNYA AL-MASIH DAJAL

Al-Masih Dajal ertinya ahli dusta dan penipu besar. Pengarang Mustika Hadis halaman 322 menyebut mengenai dajal-dajal itu ialah orang yang menyembunyikan dan mengubah perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya dan perbuatan sihirnya. Nabi Muhammad SAW kerapkali mengingatkan umatnya di dalam beberapa hadis supaya menjaga diri daripada bencana dajal dan pengaruhnya dan besar bahaya.

"Sebenarnya Dajal itu ialah seorang muda yang rambutnya kerinting, matanya timbul (buta sebelah). Dia akan muncul di satu jalan di antara negeri Sham dengan Iraq, serta dia melakukan kerosaakan di serata tempat yang dia sampai kepadanya dengan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannnya sebagai Tuhan - mewah makmur dan tempat orang yang enggan menerima dakwaannya - menjadi tempat yang terbiar dan tanah yang kering kontang - mengeluarkan khazanah buminya dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau subur - juga mempunyai kuasa ajaib seperti menjadikan orang muda yang kuat gagah terpenggal badannya dan dicampakkan yang satu jauh dari yang satu lagi kemudian  diserunya lalu kedua potongan itu bersatu dan orang muda itu hidup kembali dengan tersenyum-senyum seolah-olah tidak ada sesuatu yang menimpanya... lalu berkata wahai hamba Allah sekalian, setelah kamu mengetahui demikian maka tetapkanlah iman kamu, jangan terpengaruh dengan dakwaannya. Kami bertanya, "Ya Rasulullah berapa lama dia bermaharajalela di muka bumi?" Jawab baginda, "Selama 40 hari..." Baginda menerangkan lagi semasa dajal itu bermaharajalela, Allah telah menurunkan Nabi Isa AS berhampiraan dengan menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik. Maka Nabi Isa AS pun mengajar dajal sehingga dapat menawannya di pintu kariah yang bernama 'Lud' lalu dibunuhnya."

Tuesday, December 17, 2024

RUKUN IMAN KELIMA - BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT

Kita wajib beriktikad dan yakin akan wujudnya hari akhirat atau hari kiamat. Harinya pasti. Bila waktunya berlaku tidak seorang pun yang mengetahuinya hanya Allah jua yang  Maha Mengetahui bila berlakunya hari kiamat itu.

Namun demikian ada dinyatakan beberapa tanda atau alamat berlakunya kiamat. Alamat kubra (besar) dan alamat sughra (kecil). Alamat sughra adalah tanda-tanda awal bahawa dunia ini akan kiamat tetapi waktunya masih lagi panjang, masih ada waktu untuk bertaubat, masih ada peluang untuk kembali ke jalan Allah. Sementara alamat kubra apabila sudah ada tanda-tanda kubra menunjukkan bahawa dunia sudah hampir ke saat kehancurannya. Pintu taubat sudah ditutup ketika itu.


TANDA-TANDA SUGHRA

Antaranya ilmu agama tidak diberi perhatian sewajarnya dan diringankan oleh orang Islam sendiri. Perbuatan zina berlaku berleluasa, arak diminum di mana-mana seolah-olah minum arak itu bukannya suatu perbuatan haram yang dilarang Allah. Jumlah kaum wanita melebihi jumlah kaum lelaki. Orang miskin menjadi kaya raya dan menjadi pemimpin serta berlumba-lumba dengan orang kaya.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:

"... Jika demikian maka berilah tahu kepadaku tentang tanda-tanda kedatangan hari kiamat. Nabi SAW bersabda: "Tanda-tanda itu engkau akan dapati adanya hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya, dan engkau akan melihat penduduk desa yang berkaki ayam, yang tidak berpakaian sempurna, yang miskin menderita, yang menjadi gembala kambing bermegah-megah dan berlawan-lawan antara satu sama lain membina bangunan-bangunan yang mewah dan tinggi."

Dalam Kitab Mustika Hadis halaman 62 ada diterangkan mengenai tanda-tanda hampirnya kedatangan kiamat antaranya ialah:

(a) Apabila susut dan kurang ilmu pengetahuan agama dengan kematian seseorang yang alim di dalam sesuatu cawangan ilmu yang tertentu dan tidak dapat diganti.

(b) Apabila merebaknya kejahilan mengenai ilmu agama dengan sebab kurangnya orang yang suka mempelajarinya.

(c) Apabila diserahkan sesuatu urusan agama seperti jawatan Ketua Negara, Mufti, Kadi, dan sebagainya untuk dikendalikan oleh orang yang bukan ahlinya.

(d) Apabila masyarakat dipimpin oleh ketua yang fasik (jahat) yang suka menggalakkan maksiat dan perbuatan durjana.

(e) Apabila orang yang bersifat benar dikatakan pendusta. Pendusta dikatakan orang yang benar, orang yang khianat disifatkan amanah, orang yang amanah dikatakan khianat, orang yang adil disifatkan zalim, orang yang zalim disifatkan adil, orang yang jahil mempunyai pengaruh dan bermaharajalela dengan berlagak pandai dalam ilmu agama sehingga orang alim terpaksa mendiamkan diri setelah tugasnya tidak lagi dihargai.

(f) Apabila arak menjadi adat kebiasaan diminum berterangan di sana sini dengan digalakkan pula oleh pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua mereka.

(g) Apabila perbuatan lucah (zina) dan cabul dilakukan dengan terang-teraangan di meraata-rata tempat tanpa segan, daan tidak mendapat sebaraang teguraan kerana kelemahan iman sehingga kalau ada yang menegur, maka orang menegur itu boleh dikatakan imannya sekuat Saidina Abu Bakar dan Saidina Omar pada zaman sahabat Nabi Muhammad SAW. 

Wednesday, December 11, 2024

RUKUN IMAN KEEMPAT - BERIMAN KEPADA KITAB-KITAB ALLAH

 Firman Allah SWT:

"Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu menurut agama Allah yang satu tetapi akhirnya mereka telah berselisih faham, maka Allah telah  mengutuskan nabi-nabi sebaagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran kepada yang ingkar dengan khabar buruk akan ditimpa azab neraka  dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi  itu  kitab-kitab suci yang mempiunyai keterangan-keterangan benar untuk  menjalankan hukuman di antara manusia mengenai apa yang mereka pertikaikan."

(Surah al-Baqarah: 213)

Sejak Nabi Allah Adam sehingga kepada Nabi Muhammad SAW jumlah kitab-kitab suci yang telah diturunkan ialah sebanyak satu ratus empat (104) buah.  Seratus (100) buah suhuf (lembaran) dan 4 buah kitab suci.

(a) KITAB TAURAT

Diturunkan kepada Nabi Allah Musa alaihissalam. Mengandungi hukum-hukum syariat serta iktikad yang betul, benar dan diredhai Allah. Wahyu Allah yang disampaikan kepada Nabi Musa untuk disampaikan kepada kaumnya. Turut juga menceritakan kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.

Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya kami (Allah) telah menurunkan kitab Taurat di dalamnya mengandungi petunjuk kebenaran dan cahaya yang terang dengan itulah nabi-nabi yang patuh (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang Yahudi dan dengannya juga ulama mereka dan pendeta-pendetanya menjalankan hukum Allah. Sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari kitab Allah (kitab Taurat) itu, dan mereka pula menjadi penjaga dan pengwasanya (dari sebarang perubahan)."

(Surah al-Maidah: 44)

(b)  KITAB ZABUR

Diturunkan kepada Nabi Allah Daud alaihissalam. Mengandungi fatwa-fatwa, doa, zikir, nasihat-nasihat atau peringatan yang mesti dijalankan oleh umat Nabi Allah Daud. Tidak mengandungi syariat atau hukum-hukum Allah kerana Nabi  Daud mengikuti syariat Nabi Allah.

Firman Allah SWT:

"Kami (Allah) telah memberikan kitab Zabur kepada Nabi Daud."

(Surah Isra': 55)

(c) KITAB INJIL

Diturunkan kepada Nabi  Allah Isa alaihissalam, mengandungi wahyu-wahyu Allah yang mengajar manusia kembali menyembah Allah. Diterangkan tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah yang terakhir dan penyudah segala rasul dan nabi. Kitab Injil yang ada sekarang ini sudah tidak ada keasliannya lagi kerana sudah berlaku perbuhan di sana sini. Ada empat kitab Injil pada masa  sekarang, Injil Matius, Injil Markus, Injil Lucas dan Injil Johannes. Dikarang oleh empat orang pendeta Kristian dan isinya saling bertentangan antara satu sama lain. Kini menjadi pegangan penganut agama Kristian.

(d)  KITAB SUCI AL-QURAN

Kitab suci yang terakhir yang diturunkan  kepada umat manusia. Al-Quran penutup segala kitab. Diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di Mekah dan Madinah selama 22 tahun 2 bulan 22 hari dan mengandungi 6,236 ayat.

Antara keistimewaan Al-Quran ialah:

i. Isi kandungannya sesuai untuk semuaa bangsa tanpa mengira warna kulit dan bahasa serta sesuai dalam semua keadaan dan tempat untuk semua zaman. Ajaran kitab Al-Quran kekal dan sesuai sampai ke akhir zaman. Al-Quran bersifat universal (kesejagatan).

ii. Kitab suci Al-Quran kekal dalam keadaan asalnya walau satu huruf pun. Tidak ada sebarang perubahan dan kesilapan. Hakikat ini dijamin Allah:

"Sesungguhnya kami (Allah) telah menurunkan peringatan (al-Quran) itu dan sesungguhnya kami pasti memeliharanya (daripada kepalsuan).

(Surah Al-Hijr: 9)


iii. Al-Quran itu dapat dibuktikan keasliannya, tidak dicampuradukkan dengan bahasa percakapan manusia. Al-Quran dapat dibuktikan bahawa ia benar-benar wahyu Allah.

iv. Kitab suci Al-Quran mempunyai bukti sejarah yang terang dan jelas dilengkapi dengan sebab-sebab sesuatu ayat diturunkan. Tarikh, masa dan tempat ayat Al-Quran diturunkan dapat dibuktikan dengan catatan sejarahnya yang sahih.

v. Kitab suci Al-Quran adalah penyempurnaan segala kitab yang sebelumnya. Firman Allah SWT:

"Pada hari ini telah-Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu."

(Surah Al-Maidah: 3)



Monday, December 9, 2024

JUMLAH RASUL-RASUL

 Jumlah para rasul ialah 313 orang. Hanya  25 orang rasul sahaja yang wajib diketahui oleh setiap orang Ialam.

Firman Allah SWT:

"Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan beberapa orang rasul sebelummu (wahai Muhammad). Di antaranya itu adalah kami ceritakan riwayat hidupnya dan ada juga yang kami tidak ceritakan. Allah berbicara langsung kepada Musa tanpa perantaraan.

(Surah an-Nisa': 164)

NAMA-NAMA RASUL

Nama Rasul adalah seperti yang tersebut di dalam al-Quran iaitu sebanyak 25 orang:

1. Adam

2. Idris

3. Nuh

4. Hud

5. Salih

6. Ibrahim

7. Lut

8. Ismail

9. Ishaq

10. Ya'qub

11. Yusuf

12. Ayub

13. Syu'aib

14. Musa

15. Harun

16. Dzulkifli

17. Daud

18. Sulaiman

19. Ilyas

20. Ilyasa'

21. Yunus

22. Zakariyya

23. Yahya

24. 'Isa

25. Muhammad SAW


ULUL AZMI

Orang yang mempunyai keteguhan semangat dan kekuatan  mental, kecekalan, kukuh pendiriannya dalam mengahadapi apa juga cabaran dan dugaan, pantang undur ke belakang walau setapak pun. Mereka ialah Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa, dan Nabi Nuh alaihissalam. Kelima-lima rasul  tersebut adalah mempunyai kekuatan, personaliti dan keperibadian yang kukuh dan kuat dan mereka menerima paling banyak cabaran dan rintangan di dalam menyebar ajaran Allah.


KEISTIMEWAAN NABI MUHAMMAD SAW

Rasulullah SAW mempunyai beberapa keistimewaan. Antaranya:

(a) Nabi Muhamad SAW adalah nabi dan rasul terakhir. Tidak akan datang lagi nabi dan rasul sesudahnya.

Firman Allah SWT:

"Nabi Muhammad itu bukanlah bapa salah seorang daripada kamu tetapi dia adalah seorang rasul Allah dan penyudah segala rasul dan nabi."

(Surah al-Ahzab: 40)

(b) Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan rasul untuk seluruh umat manusia. Ajaran syariatnya bersifat universal  (sejagat) untuk semua bangsa, tanpa mengira bahasa dan tempat, sesuai untuk semua tempat dan zaman.

Firman Allah SWT:

"Tidak kami utuskan Engkau wahai Muhammad melainkan menjadi rahmat seluruh alam."

(Surah al-Anbiya': 107)

(c) Nabi Muhammad adalah semulia-mulia nabi dan rasul. Baginda adalah penghulu segala rasul dan nabi terakhir.

Firman Allah SWT:

"Kami lebihkan darjat kedudukan para rasul-rasul itu antara satu sama lain dengan beberapa darjat (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggalkannya pangkat dengan beberapa darjat kelebihan."

(Surah  al-Baqarah: 253)

Thursday, December 5, 2024

3. RUKUN IMAN KETIGA - IMAN KEPADA RASUL

 Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya kami mengutusnya dengan agama yang benar,  sebagai pembawa berita gembira kepada orang yang beriman dan pemberi amaran kepada orang yang ingkar dan tidak ada sesuatu  umat pun melainkan telah diutuskan seorang rasul bagi memberi ingatan dan amaran kepada mereka."

"Dan jika mereka yang kafir itu mendustainya, maka yang demikian itu tidaklah menjadi masalah kerana sesungguhnya orang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan para rasul masing-masing. Mereka telah diutuskan rasul bagi memberi keterangan-keterangan yang nyata dan disertai dengan kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta kitab (syariat) yang terang jelas."

(Surah Fatir: 24-25)

Firman Allah SWT lagi:

"Alif, Lam, Raa, inilah kitab (al-Quran) kami turunkan kepadamu, wahai Muhammad dengan itu engkau dapat mengeluarkan umat manusia daripada gelap gelita (kebodohan/kufur) kepada terang-benderang (iman) dengan izin tuhan mereka, ke jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji."

(Surah Ibrahim: 1)

Dalam surah Ibrahim firman-Nya:

"Dan kami tidak mengutuskan seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia dapat menjelaskan hukum-hukum Allah kepada mereka. Maka Allah menyeseatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) juga memberi  petunjuk hidayat kepada sesiapa yang dikehendaki dan Dialah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana."

(Surah Ibrahim: 4)

SIFAT-SIFAT RASUL

Sifat wajib:

(a) Siddiq (benar dalam tutur kata dan tingkah laku). Segala ajaran yang diterimanya daripada Allah dapat disampaikan kepada umat manusia, tanpa disembunyikannya walau sedikit pun.

(b) Amanah para rasul wajib menunaikan amanah yang dipertanggungjwabkan kepadanya sekalipun harus ditebus dengan jiwa raganya.

(c)  Tabligh wajib menyampaikan apa yang telah diterima wahyu dari Allah SWT. Disampaikan segala ajaran Allah kepada seluruh manusia tanpa diesmbunyikan walau suatu pun.

Firman Allah SWT: 

"Wahai para rasul, sampaikanlah apa-apa yang diturnkan kepadamu dari Tuhanmu."

(Surah al-Maidah: 67)

(d) Fatanah (cerdik). Dia wajib memiliki kekuatan berfikir dan kemampuan akal yang tinggi. Mereka memiliki sifat kecerdasan yangg tinggi dan daya fikir yang tajam bagi mengemukakan keterangan dan hujah yang jitu sehingga manusia dapat memahami dengan jelas apa yang disampaikannya,

SIFAT JAIZ (HARUS) BAGI RASUL

Mereka memerlukan makanan, minuman, berkahwin, tidur atau dijangkiti penyakit.

Wednesday, December 4, 2024

BERIMAN KEPADA MALAIKAT

Selain itu, tugas malaikat ini iaitu  sentiasa bertasbih dan memuja Allah, memikul Arasy, memberi salam kepada ahli syurga, menyeksa penghuni neraka, mendoakan para mukmin seperti firman Allah  SWT:

"Para malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya dan beriman kepadaNya, serta mereka memohon ampun bagi orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala-galanya maka berilah keampunan kepada  orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka dari azab neraka."

"Wahai Tuhan kami dan masuklah mereka ke dalam syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan masuklah bersama-sama mereka orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana."

"Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan yang dilakukannya dan sebenarnya sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu daripada terkena (balasan) kejahatan-kejahatan yang dilakukannya, maka sesungguhya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya, dan yang demikian itulah kemenangan yang besar nilainya."
(Surah Ghafir: 7-9)

Hadis riwayat Muslim bermaksud:
 
"Pada setiap  pagi seseorang itu pasti disertai oleh dua malaikat yang berdoa: "Ya Allah berilah kerosakan terhadap orang yang enggan membelanjakan hartanya untuk bersedekah", sedangkan yang lainnya berdoa: "Ya Allah berilah penggantian teradap orang yang gemar membelanjakan hartanya kepada kebaikan."

Daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW sabdanya yang bermaksud:

"Malaikat yang di sebelah kanan (yang menjadi penulis kebaikan) ialah ketua kepada yang sebelah kiri, maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan ditulis baginya kebaikan itu menjadi dengan sepuluh kebaikan yang tersebut, dan apabila dia melakukan sesuatu kejahatan, lalu malaikat yang di sebelah kanan berkata: "Tunggu dahulu", lalu dia menunggu selama enam atau tujuh jam, maka jika orang itu beristighfar daripada perbuatan jahat itu, tidaklah ditulis sesuatu pun, dan dan jika dia tidak meminta ampun kepada Allah dituliskan baginya satu kejahatan sahaja."

Dalam hadis ini juga diterangkan tugas malaikat Raqib dan Atid antaranya:
(a) Malaikat berada di kiri dan kanan setiap manusia.
(b) Tiap-tiap satu kebajikan ditulis dengan sepuluh ganda kebajikan.
(c) Malaikat di sebelah kanan tugasnya menulis amalan kebaikan manakala malaikat di sebelah kiri menulis amalan kejahatan.
(d) Satu kebajikan ditulis dengan sepuluh kebajikan, dan satu kejahatan ditulis dengan satu kejahatan saja.
(e) Seorang yang mengerjakan amalan jahat tidak terus ditulis kejahatan itu melainkan ditangguhkan selama enam hingga tujuh jam. Sekiranya dia beristighfar memohon ampun kepada Allah atas kejahatannya dalam tempoh tersebut, maka kejahatannya itu tidak ditulis oleh malaikat.

Dalam hadis-hadis ada dinyatakan tugas-tugas mallaikat antaranya ialah:
(a) Mencatatkan kedatangan orang Islam solat Jumaat ke masjid.
(b) Berdoa untuk orang yang mengajar perkara-perkara yang baik.
(c) Memberi penghormatan kepada penuntut ilmu agama.
(d) Mengucap Amin bagi doa seseorang yang memohon kebaikan untuk saudaranya.
(e) Memberi Ilham kepada manusia.
(f) Melaknati orang yang mengacukan senjata kepada orang yang bukan musuhnya.
(g) Melaknati orang yang menyeksa binatang.
(h) Melaknati orang alim yang memberi fatwa tanpa berdasarkan agama.
(i) Melaknati orang yang menghina sahabat-sahabat Nabi SAW

HIKMAH BERIMAN KEPADA MALAIKAT

(a) Apabila seseorang itu menyedari bahawa di sentiasa diawasi oleh malaikat, maka dia akan sentiasa menjaga tingkah lakunya, sentiasa berkelakuan baik, menjaga tutur katanya walaupun di mana dia berada.
(b) Jika dia terlanjur melakukan sesuatu kesalahan dan kesilapan, dia akan segera insaf dan bertaubat kembali, tidak akan mengulangi lagi kesalahan tersebut, kerana menyedari setiap tutur katanya, gerak lakunya sama ada buruk atau baik akan tetap tidak terlepas daripada catatan Raqib dan Atid.
(c) Apabila seseorang Muslim itu mengetahui bahawa dia akan ditanya dan diseksa oleh malaikat di dalam kuburnya disebabkan semasa hidup di dunia ini dia tidak mengerjakan apa yang disuruh dan menghindari apa yang dilarang Allah, pastilah dia akan sentiasa mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya agar dia selamat di alam kubur nanti. 

Monday, December 2, 2024

2. RUKUN IMAN KEDUA - BERIMAN KEPADA MALAIKAT

 Firman Allah SWT:

"Bahkan  malaikat itu adalah hamba Allah yang dimuliakan, mereka tidak  pernah mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka bertindak atas perintah-Nya."

(Surah al-Anbiya': 26-27)

Antara lain sifat-sifat istimewa malaikat ialah:

(a)  Mereka dapat menyerupai makhluk lain yang bertubuh menurut kehendaknya setelah mendapat keizinan dari Allah.

(b) Mereka dapat melalui perjalanan yang jauh dalam jangka waktu yang singkat.

(c) Mereka dapat melaksanakan tugas-tugas yang amat berat yang tidak dapat dilakukan oleh makhluk lain.

(d) Mereka amat patuh  pada suruhan dan perintah Allah. Tidak sekali-kali ingkar dan menderhaka kepada Allah.

(e) Mereka tidak makan, minum dan melakukan hubungan jenis.

Jumlah para malaikat terlalu banyak dan tidak diketahui jumlahnya selain Allah yang amat mengetahui. Antara yang wajib diketahui ialah:

(a) Malaikat Jibril. Dia ialah  penghulu segala malaikat. Tugasnya menyampaikan wahyu kepada para rasul dan nabi.

(b) Malaikat Mikail. Tugasnya ialah membahagikan rezeki kepada seluruh makhluk, sama manusia, haiwan, jin, syaitan dan lain-lain.

(c) Malaikat Izrail. Tugasnya ialah mengambil nyawa sekalian makhluk. Izrail juga  dipanggil malaikat maut.

(d) Malaikat Israfil. Tugasnya ialah meniup sangkakala jikalau tiba masa hari Kiamat nanti.

(e) Raqib dan Atid. Kedua-dua malaikat ini bertugass mencatat amalan baik dan jahat. Segala tingkah laku maanusia tidak akan terlepas dari cacatan kedua-dua malaikat ini.

(f) Mungkar dan Nakir. Kedua-dua malaikat ini bertugas menyeksa dan mengemukakan soalan-soalan kepada orang yang telah meninggal dunia di dalam kubur. Tidak ada  seorang pun yang dapat melepaskan dirinya daripada kedua-dua malaikat ini walau di mana pun mereka mati

(g) Malaikat Malik. Tugasnya menjaga neraka.

(h) Malaikat Ridhwan. Tugasnya menjaga syurga.