Wednesday, December 4, 2024

BERIMAN KEPADA MALAIKAT

Selain itu, tugas malaikat ini iaitu  sentiasa bertasbih dan memuja Allah, memikul Arasy, memberi salam kepada ahli syurga, menyeksa penghuni neraka, mendoakan para mukmin seperti firman Allah  SWT:

"Para malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya dan beriman kepadaNya, serta mereka memohon ampun bagi orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala-galanya maka berilah keampunan kepada  orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka dari azab neraka."

"Wahai Tuhan kami dan masuklah mereka ke dalam syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan masuklah bersama-sama mereka orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana."

"Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan yang dilakukannya dan sebenarnya sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu daripada terkena (balasan) kejahatan-kejahatan yang dilakukannya, maka sesungguhya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya, dan yang demikian itulah kemenangan yang besar nilainya."
(Surah Ghafir: 7-9)

Hadis riwayat Muslim bermaksud:
 
"Pada setiap  pagi seseorang itu pasti disertai oleh dua malaikat yang berdoa: "Ya Allah berilah kerosakan terhadap orang yang enggan membelanjakan hartanya untuk bersedekah", sedangkan yang lainnya berdoa: "Ya Allah berilah penggantian teradap orang yang gemar membelanjakan hartanya kepada kebaikan."

Daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW sabdanya yang bermaksud:

"Malaikat yang di sebelah kanan (yang menjadi penulis kebaikan) ialah ketua kepada yang sebelah kiri, maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan ditulis baginya kebaikan itu menjadi dengan sepuluh kebaikan yang tersebut, dan apabila dia melakukan sesuatu kejahatan, lalu malaikat yang di sebelah kanan berkata: "Tunggu dahulu", lalu dia menunggu selama enam atau tujuh jam, maka jika orang itu beristighfar daripada perbuatan jahat itu, tidaklah ditulis sesuatu pun, dan dan jika dia tidak meminta ampun kepada Allah dituliskan baginya satu kejahatan sahaja."

Dalam hadis ini juga diterangkan tugas malaikat Raqib dan Atid antaranya:
(a) Malaikat berada di kiri dan kanan setiap manusia.
(b) Tiap-tiap satu kebajikan ditulis dengan sepuluh ganda kebajikan.
(c) Malaikat di sebelah kanan tugasnya menulis amalan kebaikan manakala malaikat di sebelah kiri menulis amalan kejahatan.
(d) Satu kebajikan ditulis dengan sepuluh kebajikan, dan satu kejahatan ditulis dengan satu kejahatan saja.
(e) Seorang yang mengerjakan amalan jahat tidak terus ditulis kejahatan itu melainkan ditangguhkan selama enam hingga tujuh jam. Sekiranya dia beristighfar memohon ampun kepada Allah atas kejahatannya dalam tempoh tersebut, maka kejahatannya itu tidak ditulis oleh malaikat.

Dalam hadis-hadis ada dinyatakan tugas-tugas mallaikat antaranya ialah:
(a) Mencatatkan kedatangan orang Islam solat Jumaat ke masjid.
(b) Berdoa untuk orang yang mengajar perkara-perkara yang baik.
(c) Memberi penghormatan kepada penuntut ilmu agama.
(d) Mengucap Amin bagi doa seseorang yang memohon kebaikan untuk saudaranya.
(e) Memberi Ilham kepada manusia.
(f) Melaknati orang yang mengacukan senjata kepada orang yang bukan musuhnya.
(g) Melaknati orang yang menyeksa binatang.
(h) Melaknati orang alim yang memberi fatwa tanpa berdasarkan agama.
(i) Melaknati orang yang menghina sahabat-sahabat Nabi SAW

HIKMAH BERIMAN KEPADA MALAIKAT

(a) Apabila seseorang itu menyedari bahawa di sentiasa diawasi oleh malaikat, maka dia akan sentiasa menjaga tingkah lakunya, sentiasa berkelakuan baik, menjaga tutur katanya walaupun di mana dia berada.
(b) Jika dia terlanjur melakukan sesuatu kesalahan dan kesilapan, dia akan segera insaf dan bertaubat kembali, tidak akan mengulangi lagi kesalahan tersebut, kerana menyedari setiap tutur katanya, gerak lakunya sama ada buruk atau baik akan tetap tidak terlepas daripada catatan Raqib dan Atid.
(c) Apabila seseorang Muslim itu mengetahui bahawa dia akan ditanya dan diseksa oleh malaikat di dalam kuburnya disebabkan semasa hidup di dunia ini dia tidak mengerjakan apa yang disuruh dan menghindari apa yang dilarang Allah, pastilah dia akan sentiasa mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya agar dia selamat di alam kubur nanti. 

No comments:

Post a Comment