Tuesday, January 14, 2025

TIUPAN SANGKAKALA (NAFAKHATAIN)

Apabila sangkakala yang pertama itu ditiup, semua makhluk yang bernyawa akan mati. Apabila tiupan sangkakala yang kedua, semua makhluk akan dihidupkan kembali dari kubur masing-masing dalam bentuk asalnya seperti mana mereka di dunia dahulu.


BAATH  DAN HARI AKHIRAT

Memasuki peringkat kedua iaitu kehidupan sesudah dibangkitkan di padang Mahsyar. Semua makhluk akan menghadapi peringkat kedua ini, peringkat demi peringkat bermula dengan kebangkitan di padang Mahsyar, kemudian diikuti dengan hisab, pengadilan (mizan), menerima suratan amalan, meniti sirat akhirnya ke syurga atau neraka, kekal abadi selama-lamanya.

Peringkat-peringkat yang dialami oleh manusia (makhluk) itu ialah:

(a) BAATH ATAU KEBANGKITAN DARI ALAM KUBUR

Di sinilah bermulanya alam akhirat. Nabi Muhammad SAW ialah orang yang mula-mula sekali dibangkitkan diikuti oleh umatnya kemudian oleh para nabi dan pengikut-pengikutnya. Masing-masing dibangkitkan dalam keadaan yang berbeza-beza. Ada yang terhuyung-hayang bagaikan orang mabuk, bagai orang gila, ada yang menangis-nangis tidak keruan. Semuanya itu bergantung kepada amalan masing-masing semasa hidup di dunia ini. Kalau baik amalan di dunia ini akan dapat balasan yang baik dan begitulah sebaliknya.

(b) HAHSYAR IAITU BERKUMPUL DI PADANG MAHSYAR

Semua makhluk, manusia, jin, haiwan dan lain-lain semuanya akan dikumpulkan di padang Mahsyar ini. Tujuannya ialah untuk dibicarakan oleh hakim yang maha adil iaitu Allah. Masing-masing akan dibicarakan atas kelakuan semasa hidup di dunia. Segala amal perbuatan mereka sama ada baik ataupun jahat akan dikira. Tidak terlepas sesuatu pun dari pengadilan Allah. Mereka akan dibalas setiap amalan mereka dengan balasan yang seadil-adilnya. Keadaan manusia di sini juga berbeza-beza antara satu sama lain. Ada yang rupanya macam babi, ada yang seperti monyet, ada yang berjalan dengan kakinya di atas dan kepalanya di bawah, ada yang tuli dan pekak, ada yang menggigit lidah sendiri, ada yang nanah keluar dari seluruh badannya, ada yang terpotong dua kaki dan dua tangannya dan bermacam-macam lagi keadaan mereka mengikut amalan dan tingkah laku mereka semasa hidup di dunia.

(c) SYAFAAT 'UZMA

Pertolongan terbesar yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada semua makhluk. Rasulullah SAW berdoa kepada Allah agar disegerakan hisab ke atas umat manusia lalu diperkenankan Allah.

Daripada Ibn Umar RA katanya, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya matahari akan dekat ke atas kepala manusia sehingga air peluh sampai ke paras telinga, maka dalam masa mereka berkeadaan demikian, mereka meminta pertolongan daripada Nabi Allah Adam AS. Lalu beliau menolak dan berkata: Aku bukanlah orang untuk itu. Kemudian mereka meminta pula kepada Nabi Musa AS. Dia menjawap dengan jawapan yang sama seperti Nabi Adam. Akhir sekali mereka datang menemui Nabi Muhammad SAW memohon syafaatnya, lalu Rasulullah mengemukakan syafaatnya. Setelah itu Allah Taala memulakan perbicaraan untuk menghakimi khalayak yang ramai itu, maka waktu itu Allah mengangkatnya (Nabi Muhammad SAW) ke martabat "Maqaman Mahmuda" (maqam paling terpuji) yang dipuji oleh semua makhluk yang ada di padang Mahsyar."

Selain daripada Nabi Muhammad SAW, nabi-nabi yang lain, para alim ulama, para syuhada (orang yang mati syahid) juga diberi keistimewaan oleh Allah untuk mereka memberi syafaat masing-masing. Syafaat itu adalah syafaat kecil, seperti memasukkan seseorang ke dalam syurga tanpa hisab.

No comments:

Post a Comment