Semua amalan manusia semasa hidup ini dicatatkan oleh malaikat Raqib dan 'Atid. Segala jenis perbuatan sama ada baik atau buruk tidak terlepas daripada catatan malaikat tersebut. Semunya akan direkodkan dan kemudian akan diadili oleh Allah Hakim Yang Maha Adil. Setiap perbuatan yang dilakukan di dunia akan dihisab dan akan menerima hukuman yang seadil-adilnya di akhirat nanti.
Sesiapa yang amalan baiknya lebih berat akan menerima buku amalannya dari sebelah kanan (Ashabul Yamin) dan mereka ini akan masuk ke syurga. Maka yang jahat akan menerima buku amalannya dari sebelah kiri (Ashabul Syimal) dan sudah pasti mereka ini akan masuk ke neraka.
Firman Allah SWT:
"Maka sesiapa yang berat timbangan-timbangannya, maka orang itu adalah di dalam kehidupan yang diredhai dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya, maka tempat kembalinya adalah neraka "Hawiyah". Adakah engkau tahu apakah neraka Hawiyah, iaitu neraka yang apinya panas menyala-nyala."
(Surah al-Qariah: 6-11)
Sabda Rasulullah SAW:
"Daripada Abi Barzah Al-Aslami RA daripada Nabi SAW sabdanya: "Tidak berganjak kedua kaki seseorang itu dari tempat berdirinya pada hari kiamat di Padang Mahsyar di hadapan pengadilan Allah melainkan ditanya terlebih dahulu mengenai umurnya ke mana dihabiskan, ditanta tentang ilmunya untuk apakah ia digunakan. Ditanya juga mengenai hartanya dari mana diperolehnya dan bagaimana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya pada perkara apakah dia lakukan."
(Riwayat Tirmizi)
Daripada Jabir RA katanya Rasulullah SAW bersabda:
"Diletakkan neraca pada hari kiamat, lalu ditimbang amal-amal yang baik dan amal-amal yang jahat, maka sesiapa yang berat timbangan amalan baiknya daripadaa amalan jahatnya, masuklah dia ke syurga dan sesiapa yang berat timbangan amal-amal jahatnya daripada amal-amal baiknya masuklah dia ke neraka."
(Riwayat Abu Syaikh)
(e) TITIAN AL-SIRAT
Setelah selesai manusia diadili oleh Allah, masing-masing telah tahu akan balasannya dan keputusan yang sama ada mereka termasuk di dalam kumpulan Ashabul Yamin (ahli syurga) atau Ashabil Syimal (ahli neraka).
Ashabul Yamin ialah mereka yang menerima suratan amalan masing-masing dari sebelah kanan. Ertinya mereka adalah kumpulan manusia yang bernasib baik dan berbahagia. Mereka adalah ahli syurga. Sementara Ashabul Shimal pula ialah mereka yang menerima suratan amalan masing-masing dari sebelah kiri, mereka adalah terdiri daripada golongan yang malang nasibnya kerana mereka adalah ahli neraka.
Setelah masing-masing menerima suratan amalan, mereka akan ke destinasi masing-masing sama ada ke syurga atau ke neraka. Mereka semuanya akan melalui titian Sirat Al-Mustaqim. Titian yang diletakkan untuk menyeberangi lautan api neraka, titian yang di kanannya terdapat banyak pengait-pengait untuk mengait kaki sesiapa yang berhak dikait. Orang yang terkait kaki ada tiga golongan:
i. Golongan yang gugur jatuh ke dalam lautan api. Orang yang pada masa hidup di dunia telah terkait, terpengaruh dan terpedaya dengan hasutan syaitan atau nafsu liarnya sehingga terjatuh ke dalam lubuk kejahatan dan kederhakaan sampai matinya tanpa sempat bertaubat.
ii. Golongan yang rebah bangun, rebah bangun dan akhirnya selamat sampai ke seberang. Mereka ialah orang yang padaa masa hayat di dunia kerap kali dikait, dipengaruhi dan diperdaya oleh syaitan atau nafsu amarahnya melakukan maksiat. Tetapi pada tiap-tiap kali mereka jatuh ke dalam satu-satu kesalahan, mereka segera ingatkan azab seksa Tuhan, lalu mereka menyesal dan bertaubat sampai mati dalam keadaan taatkan Allah.
iii. Golongan yang istimewa dapat menyeberang titian Sirat dengan jayanya dan selamat ke syurga.
(f) SYURGA DAN NERAKA
Kedua-dua tempat inilah merupakan tempat terakhir yang akan dimasuki oleh semua makhluk, manusia, jin dan syaitan. Syurga ialah tempat balasan yang paling nikmat yang kekal abadi yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang soleh. Nikmatnya yang tidak terhingga - tidak terbayang di fikiran, begitulah gambaran nikmat syurga itu. Ada tujuh buah syurga iaitu Jannatul Firdaus, 'Adn, Ma'wa, Naim, Darus Salam, Darul Muqamah, Al-Maqam Al-Amin.
Begitulah juga neraka ada tujuh peringkat iaitu Jahanam, Jahim, Hawiyah, Wail, Saqar, Sair, Ladha dan Hutamah. Bahan pembakar neraka-neraka tersebut adalah terdiri daripada manusia dan jin. Sementara kekuatan panas api ialah 70 kali ganda kepanasan api dunia ini.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Kepanasan api yang kamu gunakan di dunia oleh anak Adam adalah 1/70 kepanasan api neraka jahanam."
Sementara makanan ahli neraka pula adalah buah Zaqqum iaitu sejenis buah yang pahit rasanya dan busuk baunya, mendidih di dalam perut apabila memakannya yang akan menghancur dan memutuskan tali perut.