Friday, November 29, 2024

1. RUKUN IMAN YANG PERTAMA - IMAN KEPADA ALLAH

 Firman-firman Allah SWT:

"Katakan wahai Muhammad bahawa Allah itu satu. Allahlah tempat sekalian makhluk bergantung. Tidak Dia beranak dan diperanakkan dan tidak ada sesiapapun yang setara atau seumpama dengan-Nya."

(Surah al-Ikhlas: 1-4)

"Dialah  Allah Tuhanmu, tidak ada  Tuhan melainkan Dia, Pencipta segala sesuatu, kerana itu hendaklah kamu menyembah Dia."

(Surah  al-An'am: 102)

"Dan jika kamu bertanyakan mereka (orang jahiliah), siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka akan menjawab bahawa yang menjadikan langit dan bumi itu ialah Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui."

(Surah az-Zukhruf: 9)

Di dalam al-Quran diterangkan dalil tentang keesaan dan kesempurnaan Allah subhanahu wataala yang lengkap di dalam surah al-Baqarah:

"Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbir sekalian makhluk-Nya. Yang tidak mengantuk dan tidak tidur yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Siapa yang akan memohon syafaat (pertolongan) di sisi-Nya kalau bukan dengan izin-Nya. Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di  belakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui suatu pun daripada kandungan ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya kerusi Allah (ilmu dan kekuasan-Nya) meliputi langit dan bumi, dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara kedua alam langit dan bumi itu, dan Dialah Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung."

(Surah al-Baqarah: 255)

Ayat suci ini menjelaskan bahawa Allah SWT bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan:

  1. Dialah sahaja tuhan yang sebenarnya berhak disembah dan dipatuhi.
  2. Dialah sahaja tuhan yang hidup secara mutlak - terlepas daripada pengertian hidup yang difahami oleh manusia.
  3. Dialah yang kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluknya serta memberikannya segala-gala yang diperlukan untuk keperluan hidup masing-masing.
  4. Maha Suci Tuhan daripada rasa letih lesu, lalai, mengantuk atau tidur.
  5. Allah menguasai segala yang ada di langit dan di bumi dengan penguasaan mutlak.
  6. Allah bebas melakukan segala yang dikehendaki-Nya, tidak ada sesiapapun yang boleh mempersoalkan hukum-Nya atau yang dapat menolak keputusan-Nya atau yang berani mengubah apa yang telah ditentukan dan dikehendaki-Nya sama ada dengan meminta syafaat atau pertolongan atau mengemukakan rayuan kecuali setelah Dia izinkan.
  7. Allah Maha Mengetahui akan keadaaan sekalian makhluk-Nya meliputi segala apa juga yang sedang mereka hadapi daripada segala yang sedang berlaku  atau yang akan berlaku.
  8. Allah, Dialah saja pemerintah Agung, kebesaran-Nya dan ilmu-Nya meliputi langit dan bumi.
  9. Allah, Dialah saja yang mempunyai sepenuh-penuh kekuasaan. Tidaklah menjadi keberatan atau kesukaran kepadanya menjaga dan memelihara alam langit dan bumi dan segala yang ada dalamnya.
  10. Allah, Dialah juga yang Maha Tinggi Kebesaran dan Kemuliaan-Nya. Tidak  ada yang mengatasi-Nya dan Dialah yang Maha Besar Kekuasaan-Nya, yang tidak ada bandingan-Nya. 


Thursday, November 28, 2024

BAB 2 RUKUN IMAN

  •  AKIDAH
Rasulullah SAW pernah memberikan keterangan tentang erti iman di dalam suatu majlis bersama-sama sahabat ketika didatangi oleh Malaikat Jibrail AS yang menyerupai seorang lelaki. Beliau bertanya kepada Rasulullah mengenai iman, Rasulullah SAW menerangkan:

"Iman itu ialah engkau beriman kepada Allah, malaikay-malaikatNya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya serta hari akhirat dan engkau beriman  kepada takdir (yang ditentukan oleh Allah) baik dan buruknya."

Iman bererti:
  1. Percaya benarnya sesuatu yang tertentu serta sanggup mematuhi apa yang dikehendaki oleh kepercayaan itu.
  2. Segala jenis amalan taat hasil dari kepercayaan dan kesanggupan itu.
  3. Perkara-perkara yang diimankan itu.
Tiga unsur penting di dalam kepercayaan yang mutlak:
  1. Ikrar (dibaca) dengan lidah
  2. Ditasdiq (dibenarkan) dengan hati
  3. Dipraktikkan dengan anggota
Abul Ala Maududi, seorang ulama terkemuka pada abad ini menjelaskan hubungan antara iman dan Islam.

"Hubungan antara Islam dan iamn adalah laksana  hubungan antara pokok dengan akarnya sebagaimana sepohon pokok tidak dapat tumbuh dan hidup subur tanpa akarnya demikianlah pula seseorang itu tidak dapat menjadi Muslim tanpa mempunyai keimanan."

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rukun Iman terdiri daripada:
1. Iman kepada Allah
2. Iman kepada Malaikat-Nya
3. Iman kepada Kitab-Nya
4. Iman kepada Rasul-rasul-Nya
5. Iman kepada Hari Akhirat
6. Iman kepada Qada' dan Qadar


Tuesday, November 26, 2024

BAB 1 RUKUN ISLAM

 MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Islam itu dibina di atas ilmu asa iaitu syahadah atau naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah. Kedua ialah mendirikan solat fardu lima waktu. Ketiga ialah berpuasa sebulan pada bulan Ramadan. Keempat ialah membayar zakat dan kelima ialah menunaikan fardu haji ke Mekah bagi yang berkuasa."

MAKNA SYAHADAH

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah.

KONSEP SYAHADAH

  1. Dibuktikan dengan mendirikan solat lima waktu (tiang kepada kebesaran Islam)
  2. Dibuktikan dengan menunaikan zakat
  3. Dibuktikan dengan menunaikan ibadat puasa Ramadan
  4. Dibuktikan dengan menunaikan ibadat haji ke Makkah, bagi yang berkuasa sekali seumur hidup
  5. Kezuhudan hidup di dunia ini dengan meninggalkan dosa-dosa besar, dan perbuatan-perbuatan yang mungkar yang diharamkan dan dilarang oleh Allah
SYARAT-SYARAT DUA KALIMAH SYAHADAH
  1. Wajib mengetahui lafaz Dua Kalimah Syahadah itu, wajib mengetahui maknanya dan kandungannya
  2. Wajib mengikrar dengan lidahnya serta hendaklah mengucapkan (membaca) dua kalimah syahadah dengan selengkapnya.
  3. Wajib meyakini maksudnya dan tidak mempunyai keraguan atau merasa sangsi kebenaran isi Dua Kalimah Syahadah itu
  4. Hendaklah yakin serta mengamalkan tuntutan dan kehendak-kehendak Dua Kalimah Syahadah itu dan menolak segala apa jua yang bertentangan dengan maksud yang terkandung di dalam Dua Kalimah Syahadah itu

HUKUM-HUKUM YANG BERHUBUNG DENGAN DUA KALIMAH SYAHADAH

Menurut pendapat Profesor Madya Sulaiman Yassin (UKM) di dalam bukunya Penghantar Akidah halaman 167,

"Seseorang Islam itu tidak boleh dihukum kafir yang mengeluarkan dirinya daripada Islamnya melainkan dengan sebab-sebab  yang telah dinaskan oleh Islam bahawa setiap mereka yang melakukan sebab-sebab berikut adalah kafir."
  1. Mengingkari dan mendustai setiap sesuatu yang telah dinaskan dan difardukan oleh Islam sebagai wajib diimani
  2. Melakukan amalan atau perbuatan yang menyebabkan dia kafir
Hukuman ini tertakluk kepada:
(a) Tidak jahil
(b) Tidak tersalah
(c) Tidak dipaksa